𝐊𝐔𝐑𝐀𝐍𝐆𝐍𝐘𝐀 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐄𝐓𝐀𝐇𝐔𝐀𝐍 menyebabkan segelintir usahawan masih tidak mengetahui mereka sebenarnya diberi pelbagai keistimewaan untuk mendapatkan pelepasan cukai.
Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam memberikan pelepasan cukai antaranya tiada sebarang penalti dikenakan kepada individu yang membuat pengakuan cukai masing-masing menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang akan bermula pada 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024.
Tiada penalti, hanya lapor saja berdasarkan apa yang diketahui dan LHDN terima secara baik dan tidak akan buka lagi tahun-tahun berkenaan untuk diaudit. Jadi rebutlah peluang ini supaya tidak lagi berlaku kekurangan atau masih belum dilaporkan.
Kami juga mengambil tanggungjawab untuk menguar-uarkan program ini kepada semua sama ada individu ataupun perniagaan. Selain itu, terdapat banyak pelepasan cukai yang diberikan bertujuan untuk aktiviti dan keperluan tertentu yang digalakkan oleh kerajaan atau perkara yang dapat meringankan beban kewangan tetapi masih banyak tidak mengetahuinya dengan jelas menyebabkan ianya tidak dituntut yang sebenarnya membolehkan kita merancang dengan betul, sejumlah besar cukai dapat dijimatkan.
Kerajaan memberikan banyak pelepasan cukai kepada rakyat seperti untuk gaya hidup, pelancongan domestik, kesihatan, peranti elektronik dan juga yuran pendidikan. Namun, kadangkala masih ramai yang masih keliru dan tidak tahu mengenai pelepasan cukai ini.